responden ketiga..

Responden ketiga iaitu Cik Rabiah binti Uyub merupakan seorang operator pengeluaran. Beliau berusia 40 tahun dan belum berkahwin. Namun beliau mempunyai seorang tanggungan iaitu ibunya yang berusia 79 tahun. Cik Rabiah juga merupakan salah seorang penyewa yang menyewa rumah milik Datin Hajah Ara dengan harga RM150 sebulan. Beliau merupakan penduduk dari kampong seberang dan berpindah ke kampong Kelantan kerana kampong ini terletak berhampiran dengan Bandar Kota Tinggi dan ini memudahkan beliau untuk berulang alik ke tempat kerja. Menurut Cik Rabiah, agihan pecahan perbelanjaan terhadap pendapatannya semasa sebelum dan selepas banjir tidak banyak yang berubah. Ini kerana, selama ini beliau merupakan seorang yang sederhana dalam menjalani kehidupan seharian. Kebanyakan pendapatannya banyak digunakan untuk keperluan asas dan penjagaan kesihatan ibunya sahaja. Apabila beliau keluar bekerja, kakaknya yang tinggal di kawasan berhampiran akan mengambil alih tugas menjaga ibunya. Ini menunjukkan keluarga ini mempunyai sistem sokongan keluarga yang dapat membantu dalam pembangunan keluarga. Menurutnya lagi, selepas banjir perbelanjaannya untuk makanan semakin berkurang. Ini kerana banyak pihak yang menghulurkan bantuan dari segi keperluan asas makanan.