Penurunan Kadar Kesuburan Beri Kesan Kepada Sasaran 70 Juta Penduduk

Di dalam Rancangan Malaysia kesembilan, kadar kesuburan penduduk Malaysia dicadangkan diturunkan sehingga di bawah paras 1.5 daripada 2.8. Penurunan ini kemungkinan akan memberi kesan kepada sasaran penduduk seramai 70 juta orang menjelang 2100. Kadar kesuburan bermakna kadar kelahiran yang akan dilakukan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya. Pada tahun 1970, kadar kesuburan wanita adalah 5 kemudiannya menurun kepada 3 pada tahun 2000. Penurunan kadar kesuburan ini jika berterusan akan menjadikan kadar pertumbuhan penduduk 0 menjelang 2060-2070. Kependudukan negara disasar mencapai 33 juta pada tahun 2020, 37 juta pada 2030, 40.4 juta pada 2040, dan 43 juta pada 2050 (BERNAMA). Kemungkinan bahawa penduduk bumiputera akan terus meningkat menjelang 2050 dan seterusnya, manakala penduduk Cina dan India kemungkinan akan berhenti berkembang sekitar 2025. Menjelang 2050, penduduk Bumiputera dijangka mencapai 28 juta, manakala penduduk Cina akan mencapai jumlah tertinggi iaitu kira-kira 7 juta pada 2040, dan penduduk India akan kekal pada kira-kira 2.3 juta menjelang 2030. Namun kegagalan untuk mencapai 70 juta penduduk bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan sebaliknya memastikan kuaiti hidup penduduk dengan memberi penekanan kepada sumber manusia. Penduduk pedalaman dijangka berkurangan selepas 2010 manakala penduduk bandar akan terus berkembang. Malaysia tidak meletakkan had kepada saiz sesebuah keluarga jika dibandingkan dengan negara maju seperti Singapura. Walaubagaimnapun, saiz keluarga rakyat Malaysia menjadi semakin kecil dari setahun ke setahun. Ini berlaku kerana faktor ekonomi seperti kos sara hidup yang tinggi terutamanya di bandar, selain daripada kekangan masa yang dimiliki oleh pasangan menjadikan saiz keluarga mereka lebih kecil. Pendidikan juga memainkan peranan dalam mempengaruhi kadar kesuburan penduduk. Ini dapat dilihat dengan bilangan anak yang dimiliki oleh mereka yang berpandidikan tinggi dan bekerjaya terutamanya golongan wanita. Apa yang lebih diutamakan pada masa sekarang dan akan datang adalah kualiti hidup sesebuah keluarga itu dan bukannya kuantiti bilangan anak di dalam sesebuah keluarga.