Apa iTu DeMogRaFi?

DEMOGRAFI adalah satu pengkajian tentang kependudukan manusia, terutama fertiliti (kelahiran), mortality (kematian) perkahwinan dan migrasi. Demografi melibatkan pengkajian yang saintifik tentang saiz, penyebaran ruang dan komposisi dan bagaimana ketiga-tiga komponen ini berubah mengikut masa. Terdapat pelbagai definisi demografi yang dikeluarkan oleh ahli-ahli demografi seperti Hawthorn, Bouge dan Hauser & Duncan. Walaubagaimanapun, kesemua definisi ini menyetujui bahawa pada asasnya demografi ialah pengkajian yang saintifik dan statistikal tentang fertiliti, mortaliti serta migrasi dan bagaimana komponen ini berubah mengikut masa serta mempengaruhi saiz dan taburan kependudukan manusia. Ahli demografi biasanya mementingkan statistik tentang fertiliti, mortaliti dan migrasi kerana ketiga-tiga pemboleh ubah ini ialah komponen yang melibatkan perubahan kependudukan. Komponen ini diukur melalui kadar kelahiran, kematian dan perpindahan penduduk yang menentukan saiz kependudukan, komposisi umur dan bagaimana sesuatu kependudukan itu berkembang.

Usaha merekodkan peristiwa seperti kelahiran, kematian dan lain-lain diselaraskan di seluruh dunia hanya pada tahun 1872 setelah disyorkan oleh Institut Perangkaan Antarabangsa. Setelah syor ini dilaksanakan, maka minat untuk mengkaji kependudukan manusia semakin meningkat dan lahir disiplin baru yang dikenali sebagai 'Demografi'.

Saiz kependudukkan , kadar perubahannya, komposisi umur, aras fertiliti dan mortaliti yang dapat disebut sebagai pembolehubah demografi amat penting kepada sesebuah negara kerana pemboleh ubah ini mempengaruhi faktor sosial, ekonomi, politik dan faktor lain. pemboleh ubah demografi ini amat penting terutama dalam perancangan pembangunan, pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan aspek sosial yang lain.