Pencapaian yang mengagumkan, iaitu kematian kanak-kanak yang berumur di bawah lima tahun telah menurun kepada 10 juta orang setiap tahun






Seluruh dunia kini telah menyaksikan satu titik bersejarah terhadap kesinambungan kesihatan dan kehidupan kanak-kanak. Untuk pertama kalinya di dalam sejarah moden kini, angka kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun telah menurun kepada sepuluh juta orang setahun.
Kaji selidik yang telah dijalankan oleh UNICEF baru-baru ini melaporkan terdapatnya perkembangan yang kukuh, dengan kematian kanak-kanak di seluruh dunia direkodkan serendah 9.7 juta orang setahun – iaitu telah menurun daripada 13 juta orang pada tahun 1990.
Pencapaian ini akan meningkatkan momentum untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium yang telah ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin dunia pada tahun 2000. Untuk mencapai MDG 4 – iaitu penurunan sebanyak dua pertiga angka kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun pada tahun 1990 menjelang tahun 2015 – boleh mengelakkan kematian kanak-kanak seramai 5.4 juta orang setahun.

Penemuan utama yang didapati daripada kadar kematian di bawah umur lima tahun

Setiap benua telah menunjukkan kemajuan di dalam menurunkan kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun. Penurunan yang paling mendadak adalah di antara tahun 1990 dan 2006 di Latin Amerika dan Caribbean, Eropah Tengah dan Timur dan juga Negara-negara Komanwel, Asia Timur dan Pasifik.
Pada tahun-tahun yang lalu, kebanyakan kematian kanak-kanak berlaku di negara-negara Asia. Kini, lebih kurang 50 peratus daripada kematian kanak-kanak berlaku di sub-Sahara Afrika. Sekiranya tren ini berterusan, sub-Sahara Afrika akan menyumbang sebanyak 60 peratus daripada kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun menjelang tahun 2015.
Penurunan kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun di Asia telah menyumbang kepada kadar penurunan di seluruh dunia. Kadar kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun di negara China telah menurun daripada 45 kematian bagi 1,000 kelahiran bayi yang masih hidup pada tahun 1990 kepada 24 kematian bagi 1,000 kelahiran bayi yang hidup pada tahun 2006, iaitu penurunan sebanyak 47 peratus. Da pada masa yang sama, kadar di India pula telah menurun daripada 115 kematian kepada 76 bagi 1,000 kelahiran bayi yang hidup, iaitu penurunan sebanyak 34 peratus.