Penurunan Kadar kematian kanak-kanak di Malaysia

Penambahbaikan dalam kesihatan kanak-kanak dan penurunan kadar kematian kanak-kanak telah menjadi matlamat pembangunan negara sejak Rancangan Malaysia Pertama pada tahun 1966. Kemajuan dalam perubatan, termasuk vaksin dan penghidratan semula oral untuk rawatan cirit-birit dan juga adanya perkhidmatan kesihatan kanak-kanak yang termasuk kawalan terhadap penyakit berjangkit dan pengimunan telah diusahakan supaya didapati dengan meluas, melalui sistem penjagaan kesihatan utama negara, walaupun di kawasan luar bandar.
Kadar kematian bayi dan kanak-kanak telah menurun dengan mendadak sejak tiga setengah dekad yang lalu dan sekarang setanding dengan negara perindustrian yang maju.
Kemajuan ini, serta pemerolehan air bersih secara progresif, sanitasi yang bertambah baik, dan pemakanan kanak-kanak yang lebih baik telah menjadi penentu utama bagi penurunan mendadak kadar kematian bayi dan kanak-kanak dalam tiga setengah dekad yang lalu, iaitu sejak tahun 1970. Kadar kematian bayi dan kanak-kanak Malaysia pada 6.3 dan 8.1 masing-masing setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 2005* sekarang setanding dengan negara perindustrian maju.
Walaupun kadar kematian kanak-kanak telah jatuh dengan ketara di semua negeri di Malaysia, ruang perbezaan masih wujud antara negeri-negeri yang melambangkan tahap pembangunan yang berbeza. Di Semenanjung Malaysia, kematian kanak-kanak adalah lebih rendah di negeri-negeri pantai barat dan lebih tinggi bagi negeri-negeri pantai timur yang kadar kemiskinannya juga lebih tinggi.