Tinjauan Awal ke Kota Tinggi...


Pada 3 Ogos 2007, kami telah membuat tinjauan awal ke Kota Tinggi. Berdasarkan pemerhatian saya semasa berada di Kota Tinggi, banjir yang telah berlaku pada bulan Disember 2006 dan awal Januari 2007 telah membawa perubahan yang besar kepada kawasan Kota Tinggi itu sendiri mahupun penduduknya. Dua buah kampung yang teruk dilanda banjir ialah Kg.Kelantan dan Kg.Tembioh. Kedua-dua kampung tersebut terletak bersebelahan Sungai Johor dan mempunyai penduduk yang majoritinya terdiri daripada kaum Melayu dan Kaum Cina.Menurut Penghulu Kota Tinggi iaitu Encik Wan Ismail Wan Ngah,3/4 kawasan Kota Tinggi telah tenggelam semasa banjir dan semua sekolah telah dijadikan tempat pemindahan mangsa banjir.Kota Tinggi telah dilanda banjir yang dahsyat sebanyak dua kali dalam tempoh yang singkat.Menurut pengalaman penduduk kampung yang kami temui,banjir yang kedua adalah lebih dahsyat dan lama berbanding banjir yang pertama.Semasa banjir yang kedua melanda, penduduk tidak sempat menyelamatkan harta benda kerana banjir berlaku pada awal pagi(pukul 3 pagi) dan air naik dengan cepat. Banjir pada kali ini merupakan banjir yang paling besar dalam tempoh 58 tahun kerana banjir besar yang pernah dicatat sebelum ini adalah pada tahun 1948. Semasa berada di pusat pemindahan, bantuan seperti makanan, pakaian, dan beberapa barangan asas yang lain telah diberikan kepada mangsa banjir.Walaupun selepas banjir berakhir,bantuan yang berterusan telah diterima oleh penduduk samaada berbentuk barangan mahupun wang ringgit. Bantuan ini adalah hasil sumbangan kerajaan dan juga beberapa syarikat korporat.Bantuan yang terakhir diterima ialah pada 2 Ogos 2007 yang berupa wang ringgit dan disampaikan oleh Menteri Besar Johor.