
Nama Kota Tinggi juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Kota Tinggi adalah nama yang terbit daripada keadaan muka buminya yang bertanah tinggi. Mengikut sejarah, nama Kota Tinggi diberi oleh Sultan Mahmud kerana Kedudukannya yang terletak lebih tinggi daripada aras sungai.
Terdapat 4 buah bandar dan pekan yang penting di sekitar Daerah Kota Tinggi iaitu Bandar Kota Tinggi yang merupakan pusat pentadbiran yang utama bagi penduduk daerah ini, Pekan Sungai Rengit, Pekan Teluk Sengat dan Pekan Sedili Besar. Terdapat juga beberapa buah bandar baru yang telah diwujudkan oleh Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) iaitu Bandar Penawar, Bandar Tenggara, Bandar Mas, Petri Jaya dan Bandar Perani.
Kawasan Pilihanraya daerah ini terbahagi kepada 3 kawasan Parlimen dan 6 kawasan DUN iaitu kawasan Parlimen Kota Tinggi yang terdiri daripada Dewan Undangan Negeri Kawasan Sedli dan Johor Lama. Parlimen Tenggara iaitu kawasan Dewan Undangan Negeri Kawasan Panti dan Pasir Raja. Manakala kawasan pilihanraya Parlimen Pengerang pula ialah Dewan Undangan Negeri Penawar dan Tanjung Surat.